The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Tekad Mahu Menangi Derbi Lembah Klang

Mar 12, 2021 - FAS

Selangor FC akan meneruskan perlawanan ke-3 saingan Liga Super 2021 menentang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) pada hari Sabtu ini di Stadium MBPJ jam 9 malam.

Untuk rekod, kali terakhir Derbi Lembah Klang, di mana Gergasi Merah bertemu The City Boys secara kompetitif adalah dalam perlawanan Liga Super 2019 di mana Selangor FC berjaya menewaskan KLCFC 2-1 hasil jaringan pembukaan Ifedayo Olusegun pada minit ke-36 dan Sandro Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-94 perlawanan.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, pasukan akan terus memandang kehadapan dan berusaha untuk meraih tiga mata pada hari Sabtu ini.

"Kekalahan perlawanan lalu tidak mematahkan semangat pasukan malah barisan jurulatih dan pemain akan terus melihat ke hadapan dan melakukan peningkatan untuk perlawanan menentang KLCFC," tegas Karsten.

“Kecederaan yang dihadapi pemain tengah Selangor FC, Halim Saari adalah satu perkara yang sangat tidak diduga. Beliau merupakan pemain penting dalam pasukan. Walau bagaimanapun, bagi saya, kita harus melihat ke hadapan dan begitu juga beliau.”

Biarpun mengakui bahawa kehilangan Halim Saari amat dirasai, Karsten berpendapat bahawa Selangor mempunyai barisan pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut.

“Selangor FC mempunyai beberapa pemain yang berpotensi untuk bermain di posisi Halim Saari dan saya sesungguhnya percaya mereka boleh beraksi dengan baik bagi menggantikan beliau (Halim Saari),” jelas pengendali dari Jerman itu.

"Kita telah beraksi menentang KLCFC semasa perlawanan persahabatan ‘The Derby’, tidak dinafikan, mereka adalah lawan yang kuat dan mempunyai beberapa pemain yang menarik tetapi Selangor FC akan fokus untuk mendapatkan 3 mata penuh dalam perlawanan ini."

Selain Halim Saari yang mengalami kecederaan ligamen krusiat (ACL) sewaktu perlawanan menentang Terengganu FC, Selasa lalu, sebilangan barisan pemain Selangor FC masih lagi tidak dapat disenaraikan seperti Nik Sharif Haseefy (kecederaan buku lali), K. Sarkunan (kekejangan lutut), Brendan Gan (kecederaan buku lali) dan R. Dinesh (hamstring kiri).

Kedudukan terkini Gergasi Merah dalam carta Liga Super 2021 adalah di tangga ke-4 dengan tiga mata terkumpul hasil dari satu kemenangan dan satu kekalahan, manakala KLCFC pula di tempat ke-6.

Semoga Selangor FC akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan kali ini dan sekaligus berjaya mengutip tiga mata penuh di laman sendiri. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!